KUANTAN: Seorang mahasiswa berusia 20 tahun kerugian RM147,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai pihak platform e-dagang dan pegawai polis melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan semalam, lelaki itu menerima panggilan telefon daripada pihak e-dagang yang memaklumkan mangsa mengiklankan barangan menyalahi undang- undang pada 23 Januari lalu.
Katanya, panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Suspek memaklumkan mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram sebelum meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi mengelakkan mangsa ditangkap dan membersihkan rekod mangsa daripada kes jenayah.
“Mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM47,000 kepada tiga akaun berbeza.
“Pada 30 Januari lalu, mangsa juga diarahkan untuk menyerahkan barang kemas milik ibunya yang dianggarkan berjumlah RM100,000 kepada seorang wanita yang tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya.
“Mangsa mula menyedari ditipu apabila ibu mangsa mempersoalkan kehilangan barang kemas dan kekurangan wang simpanan dalam akaun banknya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan yang berkenaan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.mp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.