KAJANG: Dadah dalam bentuk cecair rokok elektronik atau vape yang digelar sebagai magic mushroom, didapati dihasilkan daripada ganja sintetik.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata dapatan itu susulan hasil ujian terhadap 50 sampel melibatkan kumpulan penagih yang mendakwa menggunakan magic mushroom pada tahun lalu.
Beliau berkata, terma magic mushroom digunakan secara meluas bagi dadah sintetik itu sehinggakan ia menjadi kegilaan golongan belia.
“Daripada data yang kita dapat dan hasil ujian yang diperoleh daripada Jabatan Kimia, ia sebenarnya bukan magic mushroom sebaliknya adalah ganja sintetik. Ia merupakan ganja sintetik yang dimasukkan dalam cecair dan digabungkan bagi digunakan menerusi vape (rokok elektronik).
“Magic mushroom di luar sana adalah satu terminologi yang dipakai secara meluas, tetapi apa yang kita peroleh daripada ujian dijalankan adalah dadah sintetik sebenarnya,” katanya.
Ruslin berkata, dadah sintetik merupakan ancaman kepada orang ramai dan satu cabaran bagi AADK dalam usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah.
Katanya, penggunaan dadah sintetik dalam kalangan belia termasuk remaja juga semakin serius di mana bahan itu sering digunakan ketika berpesta.
Ruslin berkata, pindaan terbaharu membabitkan Akta Dadah Berbahaya (ADB) tahun lalu, sedikit sebanyak memberi ruang lebih besar kepada AADK dalam usaha membanteras isu penagihan dadah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.