RANTAU PANJANG: Misteri sebuah lori yang terbabas dan ditinggalkan di tepi jalan terjawab apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui 18,700 paket minyak masak dalam kenderaan terbabit dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Rampasan dilakukan kira-kira jam 4 petang menerusi Op Taring Wawasan di Pengkalan Ayam, sebuah pengkalan ayam di Kampung Terusan, di sini.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pihaknya memeriksa sebuah pengkalan haram atas maklumat berlakunya aktiviti penyeludupan minyak masak.
“Ketika pasukannya bersama KPDN tiba di lokasi, sebuah lori jenis Nissan ditemukan terbabas dan ditinggalkan di tepi jalan tanpa pemandu.
“Hasil pemeriksaan mendapati ratusan kotak mengandungi 18,700 paket minyak masak ditemui dalam lori terbabit tanpa dokumen yang sah.
“Minyak masak itu dipercayai untuk diseludup masuk ke negara jiran. Anggaran rampasan kenderaan bernilai RM160,000, manakala minyak masak bernilai RM46,750.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Barang rampasan dibawa ke Balai Polis Jelawat, Bachok untuk tindakan selanjutnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.