comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lokasi proses daun ketum diserbu, dua ditahan 

Polis menunjukkan daun ketum dan air ketum yang dirampas menerusi serbuan di kawasan belukar di Kampung Pek, pagi semalam.- Foto Ihsan polis

MACHANG: Polis menahan dua lelaki serta merampas 608 kilogram (kg) dipercayai daun ketum dan 106 liter air ketum menerusi serbuan di kawasan belukar di Kampung Pek, pagi semalam.

Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, polis turut merampas tiga biji pil dipercayai dadah membabitkan nilai keseluruhan termasuk ketum sebanyak RM13,265.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya membuat serbuan di kawasan belukar dan dua suspek berusia 36 dan 51 tahun berada dalam keadaan mencurigakan, dan menahan suspek dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan kedua suspek dan juga dalam kenderaan itu menemukan barang yang disyaki dadah.

“Pasukan serbuan kemudiannya dipandu arah oleh kedua suspek di kawasan berdekatan dan menemukan tempat memproses ketum.

“Turut dirampas alat memproses daun ketum, daun hijau yang disyaki daun ketum serta bungkusan plastik disyaki air ketum,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ujian air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod lampau berkait kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala suspek kedua tidak ada sebarang rekod lampau.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan suspek berkaitan barang kes yang dirampas,” katanya.

Ahmad Shafiki berkata, pihaknya menasihati masyarakat agar tidak sama sekali terbabit dengan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan ketum yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini