Tumpuan :
Jenayah

Lima Nelayan Asing Cuba Larikan Diri Ditahan

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah bot nelayan asing selepas mengejar kira-kira 40 minit Selasa lalu.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Abd Rahman, berkata tangkapan membabitkan lima kru termasuk tekong berusia antara 34 hingga 41 tahun.

Katanya, rampasan membabitkan sebuah bot, peralatan menangkap ikan, bahan bakar diesel kurang 1,000 liter dan alatan komunikasi dan navigasi bernilai keseluruhan RM1.23 juta.

“Tiada hasil laut ditemui dalam bot dipercayai sudah dipindahkan ke bot lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Nor Adli berkata, Selasa lalu pada jam 8.02 pagi, pihaknya yang menjalankan rondaan Op Khas Naga Barat, Op Khas Kuda Laut dan Op Damai menerusi Kapal Maritim (KM) Amanah mengesan satu bot berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, nelayan berkenaan bertindak agresif apabila didekati dan membuat beberapa percubaan bahaya.

“Awak-awak turut melepaskan tali yang panjang ke air untuk menghentikan ‘propeller’ kapal,” katanya.

Namun pada jam 8.44 pagi, bot berkenan berjaya ditumpaskan pada jarak 163.8 batu nautika dari muara Tok Bali, Pasir Puteh.

“Perjalanan membawa tahanan dan bot ke Jeti Maritim Negeri Kelantan mengambil masa lebih kurang 28 jam sebelum tiba jam 12.15 tengah hari pada Rabu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Kru dan tekong bot dipercayai dari Vietnam turut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Sebarang maklumat berhubung kehadiran bot nelayan asing boleh disalurkan ke talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-7780070. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini