SANDAKAN: Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk bersenjatakan parang dan tukul sehingga mencederakan lima individu termasuk tiga wanita dalam satu kejadian di sebuah restoran di Batu 3, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.11 pagi itu, suspek berusia 29 tahun dipercayai secara tiba-tiba mengamuk sebelum mencederakan semua mangsa berusia antara 34 hingga 63 tahun.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek, berkata sejurus menerima panggilan, unit kereta peronda (MPV) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota polis berjaya menangkap dan mententeramkan suspek.
“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek yang bersenjatakan parang dan tukul datang ke kedai makan dengan tiba-tiba menyerang mangsa yang berada di dalam restoran berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa dirawat di Hospital Duchess Of Kent (HDOK) dan dalam berada keadaan stabil.
“Suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis berterima kasih atas maklumat awal diberikan berkaitan kejadian itu,” katanya.
Kejadian itu turut tular di media sosial.