comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki warga Thailand ditahan, ubah suai tangki kereta untuk seludup diesel

FOTO: PGA

KOTA BHARU: Taktik licik penyeludup menggunakan kenderaan tempatan dan mengubahsuai tangki untuk kegiatan penyeludupan diesel mengundang padah, apabila seorang lelaki warga Thailand ditahan di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara jam 7.30 pagi semalam menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menemui sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lebih 30 liter minyak diesel bernilai lebih RM12,000 ditemui dalam tangki kenderaan yang diubah suai.

“Suspek seorang lelaki warga Thailand dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup minyak petrol terbabit ke negara jiran turut ditahan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek menggunakan kenderaan tempatan yang sudah diubahsuai di bahagian tangki minyak.

Katanya, suspek mengisi minyak di beberapa stesen minyak sekitar pekan Rantau Panjang dan membawa masuk terus ke negara Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Aktiviti ini dipercayai dilakukan secara berulang kali dalam sehari dan diambil kesempatan apabila anggota penguatkuasa sibuk melakukan pemantauan di tempat lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan hasil rampasan diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini