Tumpuan :
Jenayah

Lelaki warga China disyaki curi dalam pesawat ditahan polis

Foto hiasan

BAYAN LEPAS: Seorang lelaki warga China ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini kerana disyaki mencuri barangan penumpang lain dalam sebuah pesawat komersial.

Suspek berusia 54 tahun itu juga disyaki adalah ahli sindiket berkait tiga lelaki lain yang diberkas berhubung kes kecurian dalam pesawat pada hujung tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga Australia berumur 44 tahun yang datang bercuti ke negeri ini.

Beliau berkata, mangsa mendakwa kad kredit miliknya cuba dicuri ketika berada dalam pesawat yang terbang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

“Susulan itu, suspek ditahan dan akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman, esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Sazalee berkata, polis percaya suspek adalah ahli sindiket berkait tiga lagi individu warga China yang ditahan berhubung kes kecurian dalam pesawat pada November dan Disember tahun lalu.

“Bagi kes berkenaan, kesemua tertuduh berusia 51 hingga 61 tahun dari Hunan, China itu ditahan ketika kejadian dan sudah didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau.

“Sehubungan itu, polis menasihati penumpang pesawat supaya mengamalkan langkah pencegahan awal dengan menyimpan beg mengandungi wang tunai atau barangan berharga, dalam kabin bagasi di atas tempat duduk paling hampir.

“Sentiasa perhatikan keadaan sekeliling jika ada penumpang lain yang dilihat berkeadaan mencurigakan di dalam pesawat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini