KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan selepas didapati memandu kereta secara melawan arus di Kilometer 26.5 Jalan Johor Bahru-Mersing.
Tindakannya itu tular di laman sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan pada jam 3.15 petang di kawasan hentian bas Kota Tinggi.
“Sebelum penahanan lelaki itu, Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah mengesan rakaman video tular berdurasi 50 saat kejadian tersebut.
“Video memaparkan sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih dipandu secara melawan arus atau songsang membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit tiada lesen memandu,” katanya dalam satu kenyataan.
Saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.