IPOH: Polis menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang dipercayai menikam isterinya dalam kejadian di Laluan Simee Sebelas, Kampung Simee dekat Ipoh Perak siang tadi.
Lelaki berkenaan ditahan jam 10 pagi kira-kira 30 minit selepas polis menerima makluman orang awam yang menemui mangsa terbaring tidak sedarkan diri di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataannya berkata mangsa berusia 48 tahun ditemui terbaring berlumuran darah dengan tiga kesan tikaman di bahagian dada dan kecederaan di bahagian kepala.
Permohonan reman terhadap suami mangsa itu akan dibuat pagi esok di Mahkamah Majistret Ipoh.
Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita ditemui maut dipercayai ditikam suaminya di rumahnya di Kampung Simee sekitar jam 8 pagi.
Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara mereka yang turut disaksikan anak perempuan pasangan itu yang berusia 12 tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa