Tumpuan :
Jenayah

Lelaki serang polis guna spanar, takut ditahan menunggang motosikal curi

Foto hiasan

BACHOK: Takut ditahan polis kerana menunggang motosikal curi, seorang lelaki bertindak mencederakan anggota polis menggunakan spanar di Simpang Empat Repek, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 24 tahun yang menunggang motosikal EX5 melalui sekatan jalan raya (SJR) membuat pusingan U untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dua anggota polis Unit Bermotosikal IPD Bachok mengejar suspek sehingga dua kilometer sebelum suspek terbabas ke dalam semak di kawasan Kampung Hujung Repek.

“Ketika cuba ditahan, berlaku sedikit pergelutan apabila suspek menendang dan mencederakan salah seorang anggota menggunakan spanar.

“Bagaimanapun suspek berjaya ditahan dan spanar turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Ismail berkata, hasil semakan lanjut mendapati, suspek menunggang motosikal curi berdasarkan nombor casis motosikal yang dilaporkan hilang berkait laporan dibuat di Balai Polis Besut, Terengganu.

Menurutnya, suspek turut gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika ditahan.
“Semakan rekod mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah,” katanya.

Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Bachok untuk siasatan lanjut.

Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 7 Oktober ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 186, 353, 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini