comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki rugi RM124,000, terpedaya pelaburan tidak wujud

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berputih mata apabila rugi RM124,000 selepas terpedaya dengan pelaburan yang tidak wujud diiklankan di aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat warga tempatan berusia 47 tahun itu, semalam, berhubung kes pelaburan tidak wujud dikenali L-Trader itu.

Beliau berkata, mangsa telah melakukan 21 transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun penerima berbeza selepas mula menyertai pelaburan yang dilihat di Facebook pada Mei lalu.

“Kes bermula pada Mei lalu apabila mangsa melihat satu iklan skim pelaburan tidak wujud dikenali sebagai L-Trader di aplikasi Facebook yang menawarkan keuntungan lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit.

“Modus operandi sindiket skim pelaburan ini dengan mangsa diberikan satu ID bagi membolehkan mangsa memantau sendiri status serta pulangan pelaburan melalui aplikasi atas nama L-Trader.

“Dengan cara itu mangsa berasa yakin dengan skim pelaburan ini kerana mangsa dapat memantau sendiri status pelaburannya.

“Mangsa pada awalnya mendapat keuntungan hasil menyertai skim pelaburan ini sebanyak RM55,000,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diyakinkan untuk membuat penambahan pelaburan sehingga jumlah pelaburan mencapai RM124,000.

Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan wang hasil keuntungan di dalam aplikasi L-Trader yang berjumlah RM9 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini