SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus di sebuah syarikat swasta kerugian RM2,055,944, akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan kripto yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat di media sosial
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu di sini, yang membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun terpedaya pelaburan tidak wujud.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa melihat iklan pelaburan kripto di Facebook sebelum dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan ditawarkan pelan pelaburan dengan keuntungan 30 hingga 70 peratus dalam tempoh singkat pada Oktober tahun lalu.
“Mangsa diarahkan membuat pelaburan itu melalui laman web bernama ‘DIGZAX.COM’. Mangsa membuat 41 transaksi pindahan wang berjumlah RM2,055,944 ke 11 akauan berbeza bermula pada 29 Oktober hingga 18 Januari lalu.
“Mangsa diyakinkan akan mendapat keuntungan sebanyak RM46 juta di platform berkenaan. Mangsa kemudian sedar sudah ditipu apabila diminta membuat pelbagai bayaran tambahan ketika mahu mengeluarkan wang keuntungan berkenaan sehingga dia kerugian,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, modus operandi digunakan suspek adalah melalui iklan pelaburan di Facebook bagi memperdayakan mangsa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya berhati-hati terhadap sebarang tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah terutama melalui aplikasi kewangan, pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Menurutnya, orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.