Tumpuan :
Jenayah

Lelaki rosakkan harta benda, ugut kakak, tidak berpuas hati urusan pembahagian harta

Foto hiasan

GERIK: Gara-gara tidak berpuas hati terhadap pembahagian harta pusaka, seorang lelaki ditahan selepas melakukan ugutan jenayah dan khianat harta benda di rumah kakak serta ibu bapanya di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood polis menerima aduan mengenai tindakan suspek berusia 38 tahun itu kira-kira jam 3 pagi.

Kata Zulkifli suspek mulanya menuju ke rumah kakaknya di Kampung Jagor, di sini, bersama ibu dan bapa dengan memandu dalam keadaan tergesa-gesa serta bertindak melanggar dua unit tiang lampu solar di hadapan kediaman itu.

“Perbuatan itu disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap pembahagian harta milik ayahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tidak berhenti di situ, suspek turut memecahkan peralatan di rumah sendiri yang terletak di Kampung Padang, di sini, sewaktu pulang dari kediaman kakaknya bersama ibu bapanya.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan ketakutan kepada ibu bapanya sebelum suspek ditahan polis setengah jam kemudian.

“Bertindak atas maklumat, polis sampai di tempat kejadian jam 3.30 pagi dan menangkap suspek untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini