comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki rentung dalam kereta terbabas ada rekod jenayah lampau kes dadah 

FOTO: PDRM

MUAR: Lelaki yang rentung dalam kereta yang terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis mempunyai rekod jenayah lampau dan tersenarai individu dikehendaki berkaitan kes dadah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, melalui semakan polis, suspek pernah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Suspek pernah ada kes dan dijatuhi hukuman berkaitan jenayah. Pada masa sama juga dia dikehendaki polis dalam kes dadah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Raiz Mukhliz berkata, dua anggota polis yang terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan dalam stabil dan sedarkan diri.

Katanya, Koperal Muhd Kasbi Muharuddin, 40, dan Koperal Mohd Sofian Hamzah, 41, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Kami bertemu dan menyantuni keluarga anggota terbabit di luar wad ICU dengan memberikan kata-kata semangat dan bersabar atas kejadian berlaku.

“Kebajikan dan bantuan yang diperlukan diberi kepada dua anggota terbabit dan keluarga sepenuhnya,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, suspek mati rentung selepas Toyota Vios dipandu terbabas ke dalam parit ketika melarikan diri daripada polis.

Sebelum kejadian, dua anggota dari cawangan kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.

Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta ke arah Parit Jamil dan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke dalam parit.

Kereta dipandu suspek terbakar menyebabkan dia rentung manakala dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini