AMPANG JAYA: Tindakan seorang lelaki menceroboh dan merosakkan kediaman keluarga bekas teman wanitanya di Taman Melawati di sini, selain mengugut mangsa mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.
Kejadian dipercayai berpunca apabila wanita berusia 24 tahun enggan meneruskan hubungan mereka selepas tiga bulan berkenalan menyebabkan lelaki berusia 31 tahun itu mengamuk.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari 18 September lalu, ketika mangsa berada dalam bilik rumahnya di Taman Melawati terdengar balingan batu ke arah tingkap biliknya.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pemeriksaan di dalam rumah dan melihat bekas teman lelakinya berada dalam kawasan rumahnya.
“Suspek kemudian menggunakan dumbel memecahkan pintu kaca belakang rumah di kawasan ruang tamu sambil menjerit nama wanita itu.
“Mangsa melarikan diri ke biliknya dan menghubungi pihak berkuasa. Pada masa sama, suspek bertindak menendang dan menggunakan dumbel untuk memecahkan pintu bilik itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, suspek bagaimanapun tidak berjaya dan menyelinap masuk melalui balkoni serta memecahkan tingkap bilik mangsa sambil mengugutnya.
“Suspek kemudian beredar dan nilai kerosakan rumah bapa mangsa dianggarkan kira-kira RM20,000.
“Hasil siasatan mendapati motif kejadian disebabkan mangsa tidak mahu lagi meneruskan hubungan percintaan dengan suspek selepas bersama hampir tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata, susulan kejadian itu polis menahan suspek jam 5.50 petang semalam di Petaling Jaya dan semakan mendapati, suspek mempunyai 13 rekod jenayah lalu.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan jenayah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.