Tumpuan :
Jenayah

Lelaki pukul pekerja wanita kerana tak puas hati servis  kedai telefon

MUAR: Kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan sebuah kedai telefon di Pagoh, dekat sini, seorang lelaki mengamuk dan mencederakan seorang pekerja wanita, pagi tadi.

Kejadian berdurasi 1 minit 40 saat itu turut dimuatnaik di media sosial.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati ia berpunca dari rasa tidak puas hati yang diluahkan oleh lelaki berumur 45 tahun berkenaan sebelum bertikam lidah dengan pekerja wanita dan seterusnya bertindak agresif.

Katanya, susulan kejadian itu lelaki dan pekerja wanita berkenaan telah membuat laporan di balai polis Muar.

Berikutan itu lelaki dan pekerja wanita berkenaan telah dipanggil memberi keterangan.

“Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah seksyen 323 kanun kesiksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan tanpa senjata.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksima setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan seksyen  14 akta kesalahan kecil 1955 kerana mengeluarkan perkataan kurang sopan” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberi amaran, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan berunsur jenayah.

Orang ramai juga dingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap video yang ditularkan hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Loading...
Terkini