SUBANG JAYA : Lelaki yang memukul isterinya dengan kerusi di kepala dan badan di kediaman mereka di Taman Pinggiran USJ di sini, ditahan polis pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 7 Ogos lalu pada 6.30 petang ketika mangsa yang berusia 32 tahun berselisih faham dengan suaminya.
Menurutnya, suspek bertindak memukul isterinya dengan kerusi menyebabkan kepala mangsa cedera dan lebam di seluruh badan.
“Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Susulan itu, suspek ditahan pada 10.30 malam Selasa lalu dan direman empat hari bermula kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Khalid berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – HARIAN METRO