comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki positif dadah samun warga emas dan larikan kereta ditahan

Foto hiasan

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis ditahan selepas ditemui bersembunyi dalam semak di Kampung Sungai Keladi di sini.

Suspek yang berusia 39 tahun itu dikehendaki untuk siasatan mencuri beg seorang jemaah lelaki di Masjid Muhammadi, di sini pada 26 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek yang juga penganggur ditahan jam 3 petang semalam selepas menyamun seorang pesara kerajaan di Sungai Budor, di sini.

“Dalam kejadian jam 11.40 pagi semalam, mangsa yang berumur 68 tahun sedang memancing di saliran Sungai Budor sebelum didatangi suspek.

“Suspek bertindak menekan kepala mangsa dan menyebabkan pesara kerajaan itu jatuh tertiarap sebelum mengambil barangan milik mangsa dan melarikan diri bersama kereta jenis Proton Saga milik warga emas terbabit.

“Sebaik laporan dibuat, pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Balai Polis Kota Bharu berjaya menangkap suspek yang bersembunyi di kawasan semak di Jalan Kampung Sungai Keladi, yang jaraknya lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Mohd Rosdi berkata, turut ditemui adalah kereta dan barangan milik mangsa.

Menurutnya lagi, hasil ujian saringan awal dadah yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Hasil siasatan turut mendapati suspek adalah individu yang dikehendaki polis sebagaimana video tular dalam kejadian mencuri beg seorang jemaah lelaki di Masjid Muhammadi pada 26 April lalu.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 380 KK,” katanya.

Loading...
Terkini