Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Lelaki Pakistan samun dan rogol di jejantas KTM Serdang ditahan

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.A Anbalagan menunjukkan foto suspek kes samun dan rogol pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang.- Foto: NSTP

SERDANG: Pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) yang mengesan laluan lelaki warga Pakistan melarikan diri selepas melakukan jenayah samun dan rogol berjaya membawa kepada penahanannya.

Suspek ditangkap di kawasan kaki lima sebuah kondominium di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata dalam kejadian jam 12.40 tengah malam Ahad lalu, mangsa berusia 29 tahun dan bekerja sebagai promoter sementara di sebuah pusat beli belah di Putrajaya itu melalui jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang sebelum dihampiri seorang lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Dagang, Sungai Besi dari tempat kerja kemudiannya disamun telefon bimbit sebelum dirogol di jejantas itu.

Dalam kejadian itu, suspek turut mengacukan pisau ke arah mangsa.

“Mangsa yang trauma kemudian tampil membuat laporan polis dan hasil siasatan pada jam 8.30 malam kelmarin, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan lelaki warga Pakistan berusia 23 tahun yang terbabit dalam kejadian samun dan rogol itu,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, di sini, hari ini.

Turut ditahan seorang lagi rakan senegara suspek berusia 29 tahun yang dipercayai rakan sejenayah dalam satu lagi kejadian samun pada 30 Disember lalu yang menyebabkan seorang wanita berusia 20 tahun kerugian dua telefon bimbit dan mengalami kecederaan di jari kanan.

Kedua-dua suspek tidak bekerja.

Semakan mendapati suspek pertama masuk ke negara ini sejak Ogos tahun lalu sementara suspek kedua sudah enam bulan berada di negara ini.

Siasatan mendapati mangsa baharu seminggu bekerja di pusat beli belah itu sebelum disamun dan dirogol.

Beliau berkata suspek mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 22 Januari ini.

“Pihak IPD Serdang menyarankan mana mana orang awam yang pernah menjadi mangsa samun kepada suspek ini untuk membuat laporan polis dan sekiranya mempunyai maklumat individu yang mencurigakan boleh memberi maklumat,” katanya.

Loading...
Terkini