Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen memberkas seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai menjadi dalang membekal dan mengaji pekerja asing tanpa kebenaran dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai, di Permas Jaya, dekat sini, pada 4 Julai lalu.
Serbuan kira-kira jam 2 petang, hasil risikan selama 6 bulan selepas menerima aduan awam.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil serbuan itu 3 lelaki warga Pakistan berumur 28 hingga 50 tahun diberkas.
Katanya, siasatan awal ke atas suspek utama yang berumur 28 tahun mendakwa telah berkahwin dengan dua wanita tempatan.
“Siasatan mendapati syarikat yang diserbu adalah milik seorang wanita warga tempatan yang juga isteri muda kepada suspek utama dan operasi syarikat terbabit dikendali sepenuhnya oleh suspek” jelasnya.
Dua lagi lelaki Pakistan turut mengaku telah membayar wang berjumlah RM7,000 bagi memperolehi pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan mengaku suspek utama adalah majikan mereka.
Dalam serbuan itu, turut dirampas 35 pasport Pakistan, 2 pasport India, masing-masing satu pasport Bangladesh, Indonesia serta Myanmar.
“Beberapa fail bukti pembayaran gaji, tawaran kerja, tawaran membekalkan pekerja, rekod salinan pasport dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) turut ditemui dalam serbuan berkenaan” tambahnya.
Suspek utama disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (akta 150) kerana memiliki pasport dan dokumen perjalanan dalam negeri bagi penggunaan bukan dirinya sendiri dan Seksyen 6 (1)(c) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah tinggal di negara ini.
Manaka dua lelaki Pakistan didakwa mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen kerana bersubahat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa