KOTA KINABALU: Polis Sabah sudah memanggil seorang lelaki yang dipercayai membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah, hari ini.
Mengikut laporan, lelaki terbabit menggunakan akaun Facebook atas nama Ricky Shane CA.
Dia memuat naik komen berkenaan di bawah pautan berita dalam talian New Straits Times (NST) mengenai stoking tertera kalimah Allah.
Sementara itu, orang ramai yang mengetahui identiti lelaki terbabit dilihat menunggu di luar sebuah kondominium yang menjadi tempat tinggal individu itu.
Ia menyebabkan kondominium itu turut tular di media sosial.
Dalam video itu juga, kedengaran suara orang bercakap mengatakan bahawa dia tidak dapat menerima perbuatan lelaki itu walaupun individu terbabit meminta maaf.
Menerusi satu lagi hantaran di media sosial tidak lama selepas hantaran pertamanya, lelaki itu memuat naik permohonan maaf kepada umat Islam atas segala komen dan apa yang ditulisnya.
Beliau juga mengaku sebagai seorang mualaf yang baru dua tahun memeluk Islam dan masih perlu belajar banyak perkara berkaitan agama itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.
Katanya, lelaki itu sudah dipanggil ke balai polis untuk pertanyaan awal dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.