comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki menyamar pelanggan curi jam tangan berjenama bernilai RM64,000

FOTO: PDRM

SUBANG JAYA: Sebuah kedai menjual barangan berjenama kerugian RM64,000 selepas seutas jam tangan Rolex dicuri seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan di SS 16, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pekerja wanita memaklumkan didatangi seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan ketika dia bersama rakan sedang membuka kedai, pada 10.40 pagi.

Menurutnya, suspek mencuri jam tangan terbabit ketika pekerja itu sedang bercakap di telefon dan terus melarikan diri.

Katanya, jam tangan yang dicuri adalah Rolex Datejust 36 Oystersteel and Yellow Gold Reference 126233 serial number 63t917k7

“Hasil siasatan dapati suspek menunggu di hadapan sebelum kedai beroperasi.

“Suspek mengatakan membuat temujanji melalui mesej di samping bertanyakan beberapa soalan mengenai barangan yang dijual,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Azlan berkata, tidak lama kemudian, suspek bergegas keluar dari kedai dan maklum mahu mengambil majikannya di tingkat bawah.

Katanya, pada 2.14 petang, wanita itu dimaklumkan oleh rakan kerja bahawa jam tangan itu hilang dicuri.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (akta 574) iaitu kesalahan mencuri di dalam bangunan.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627222 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini