MELAKA: Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditahan polis selepas disyaki membaling tukul besi ke arah bangunan Balai Polis Tanjung Kling, sehingga menyebabkan cermin hadapan pecah dalam kejadian yang berlaku malam Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa suspek berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Tangga Batu pada jam 12.40 tengah malam tadi.
Menurut siasatan awal, suspek mendakwa mendengar bisikan di telinga yang mendorongnya melakukan perbuatan tersebut.
“Ketika kejadian kira-kira 10.10 malam, suspek yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda milik adik perempuannya bertindak memberhentikan kenderaan itu di luar pekarangan balai polis sebelum beredar dari lokasi dan menuju ke Pantai Puteri.
“Ketika kejadian dua anggota bertugas di kaunter aduan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Suspek direman selama empat hari hingga 13 Januari, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.