comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki hantar bungkusan menyerupai bahan letupan ke pejabat menteri MOTAC, diburu

KUALA LUMPUR: Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai menghantar bungkusan berisi objek menyerupai bahan letupan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya, 5 Jun lalu.

Lakaran suspek yang memakai pelitup muka itu dirakam di pejabat sebuah syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor, pada hari sama bungkusan itu dikirim.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa suspek dikesan memakai baju berwarna merah dan jaket hitam dan penutup kepala berwarna hitam.

“Hasil siasatan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, mendapati suspek melakukan proses penghantaran bungkusan berkenaan dengan menggunakan identiti individu lain.

“Berdasarkan siasatan juga individu yang identitinya digunakan itu mengesahkan dia tidak hadir ke pejabat penghantaran di Sungai Buloh dan tidak tahu tentang sebarang urusan penghantaran barang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, pihak polis meminta bantuan orang ramai mempunyai maklumat tentang suspek dan kejadian ini untuk memaklumkan segera kepada pihak IPD Putrajaya atau Hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-21159999.

“Sehubungan kejadian ini juga saya ingin mengambil kesempatan kepada pihak syarikat penghantaran atau syarikat perbankan untuk mengarahkan pelanggan mereka membuka pelitup muka semasa melakukan sebarang urusan.

“Langkah ini adalah penting bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti identiti mana-mana pelaku jenayah selain sentiasa menjalankan penyeliaan terhadap sistem rakaman kemera litar tertutup (CCTV),” katanya.

5 Jun lalu, pejabat Menteri MOTAC menerima bungkusan yang dihantar syarikat kurier pada jam 11.19 pagi.

Bungkusan itu diambil dari lobi di tingkat bawah pejabat MOTAC dan dibawa naik ke tingkat 14.

Sebaik dibuka bungkusan itu mengandungi paip PVC berserta wayar dan penentu masa (timer).

Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Letupan dan Bahan Api 1957.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini