![](https://media.buletintv3.my/2022/10/GEN-POLIS-JENAYAH-LOGO-PDRM-5.jpg)
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dalam Op Bersepadu Sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata suspek kini direman selama tiga hari sehingga Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif dadah.
“Polis memberi amaran keras supaya orang ramai tidak terbabit dengan apa-apa kegiatan yang melanggari undang-undang.
“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Helmi berkata, ketika kejadian kira-kira 10 malam anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa motosikal yang ditunggangi suspek sebelum semakan mendapati cukai jalan dan insurans tamat tempoh pada 14 Disember lalu.
“Ketika proses untuk keluarkan saman dan menyita motosikal, lelaki terbabit mengeluarkan perkataan kesat dan menghalang pihak JPJ untuk menjalankan tugas.
“Berikutan itu, polis menahan lelaki berkenaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.