KOTA BHARU: Seorang lelaki etnik Rohingya ditemukan mati akibat ditikam rakan senegara sebanyak 40 kali, selepas mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Melor Lama di sini, jam 9.30 pagi semalam.
“Hasil siasatan lanjut kita mendapati terdapat 40 kesan tikaman termasuk di bahagian yang sama di dada. Sebelum kejadian, mangsa pergi ke rumah suspek sebelum berlaku pergaduhan. Susulan itu, suspek mengambil sebilah pisau di dalam rumah yang disewanya.
“Disebabkan itu, suspek menikam mangsa sehingga lelaki itu maut,” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, ketika kejadian, isteri suspek turut berada di rumah itu.
Beliau berkata, suspek, 32, dan isterinya, 29, ditahan semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sebilah pisau pemotong sayur dirampas untuk siasatan lanjut.
“Suspek dan mangsa sebelum ini pernah menyewa bersama sebelum mereka tinggal berasingan bersama isteri masing-masing,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, suspek dan isterinya direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Nazri.
Semalam, seorang lelaki Rohingya berusia 44 tahun dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh rakan senegaranya selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Melor Lama di sini, semalam.
Mayat mangsa ditemukan di kawasan kebun jagung berhampiran rumah suspek.