comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditembak mati miliki 26 rekod lampau, dikehendaki polis – Polis

PETALING JAYA: Seorang lelaki sangat dikehendaki polis memiliki 26 rekod jenayah lampau, ditembak mati di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku melibatkan sepasukan anggota polis berbalas tembakan dengan sekumpulan penjenayah yang disyaki terbabit kejadian pecah kedai di Damansara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menerusi kenyataan memaklumkan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah, Petaling Jaya, yang menjalankan risikan terserempak kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu suspek di lokasi berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian 1.15 pagi itu, suspek enggan memberhentikan kenderaan.

“Suspek bertindak mengundurkan kenderaan secara laju dan merbahaya lalu merempuh kenderaan polis serta orang awam yang berada di lokasi.

“Ekoran daripada itu, polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri ke arah kenderaan suspek sehingga mengakibatkan kenderaan dipandu suspek terbabas,” katanya dalam kenyataan.

Suspek berusia 30-an telah terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis turut menemui pelbagai peralatan untuk kegiatan jenayah di dalam kenderaan suspek.

Antaranya tiga parang, pemotong besi, kapak, kuku kambing dan pengikis.

Suspek memiliki 26 rekod jenayah lampau, termasuk 17 kes membabitkan 10 pecah rumah dan kedai serta sembilan kesalahan berkait dadah.

“Semakan juga mendapati suspek pernah dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(d) Poca,” menurutnya lagi.

Setakat ini siasatan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini