PASIR GUDANG: Tidak sampai lima jam menyamun seorang warga emas, lelaki tempatan berusia 37 tahun diberkas pihak polis di sekitar Taman Kota Masai awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kes samun di sebuah rumah di sekitar Taman Kota Masai.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa ialah seorang wanita berumur 79 tahun.
“Kejadian berlaku lebih kurang jam 12.57 malam semalam dan ketika itu mangsa tinggal seorang diri.
“Ketika itu, seorang lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam rumah, dan meletakkan sebilah pisau di leher mangsa serta meminta mangsa menyerahkan barangan berharga.
“Kerugian dialami mangsa sebanyak RM2,000. Dalam kejadian ini mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, bertindak atas maklumat, pada jam 4.30 pagi hari sama, polis berjaya menahan suspek dengan barang rampasan.
Antaranya sebuah telefon bimbit, sebuah Tablet milik mangsa, sebilah pisau dan satu bag galas.
“Suspek yang mempunyai 15 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, direman selama tujuh hari sehingga 18 November depan.
“Hasil ujian urin yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.
Kes disiasat dibawah seksyen 392/397 kanun keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.