Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditahan memandu dibawah pengaruh dadah

Polis menahan seorang lelaki yang memandu secara berbahaya di bawah pengaruh dadah.

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki yang memandu secara berbahaya di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bertam 2/3 Taman Daya semalam.

Kereta Honda Accord yang dipandu lelaki berkenaan sebelum itu dikejar unit kereta peronda (MPV) polis sejauh empat kilometer sehingga ke Jalan Puspakom, Taman Daya menuju ke Lebuhraya Pasir Gudang.

Susulan drama kejar mengejar itu, suspek telah melanggar palang keselamatan sebuah pangsapuri awam di Mount Austin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota unit MPV yang sedang melakukan rondaan Cegah Jenayah mengesan kereta terbabit dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, sebaik diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek lelaki tempatan berumur 39 tahun itu bertindak melarikan diri dengan memandu secara ‘zig zag’.

Tindakan itu menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta Mazda yang berdaftar di Singapura, Proton Saga dan Peugeot 408.

“Seorang daripada pemandu kereta terbabit cedera di siku kanan dan menerima rawatan di sebuah klinik manakala lelaki terbabit bersama pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, suspek akhirnya berjaya ditahan di lokasi kejadian.

Hasil pemeriksaan, polis menemui 12.99 gram syabu,13.59 gram heroin, tiga biji pil yaba dan dua biji pil erimin 5.

 

Antara dadah yang dirampas

Menurutnya, lelaki terbabit positif dadah jenis metamfetamin dan amfetamina serta mempunyai 16 rekod lampau kes jenayah dan dadah.

“Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama selain Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek mendapati, suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, cukai jalan kenderaan tamat tempoh selain tidak mempunyai lesen memandu,” ujarnya.

Video rakaman kejadian turut tular di media sosial sejak semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini