PADAWAN: Gara-gara cuba mencabul beberapa wanita dan melakukan kelucahan melampau dengan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa, seorang lelaki ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, jam 1.15 tengah hari tadi di sebuah kilang di Jalan Batu Kawa.
Katanya, tangkapan ke atas suspek hasil daripada maklumat orang awam.
“Setakat ini, polis menerima sebanyak enam laporan kejadian mangsa cuba dicabul kehormatan dan tindakan suspek melakukan kelucahan melampau.
“Suspek mengekori mangsa dan apabila tiba di kawasan sunyi, suspek mengambil kesempatan menunjukkan kemaluannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abang Zainal berkata, polis turut merampas sebuah motosikal, dua topi keledar dan pakaian suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Suspek direman di Mahkamah Kuching esok untuk siasatan lanjut.