TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol remaja perempuan berumur 14 tahun di kawasan perumahan di Balung, dekat sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan selepas mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibunya sebelum laporan dibuat kira-kira jam 4.36 petang, Rabu lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama di rumah suspek yang juga teman lelakinya sebelum suspek didakwa melakukan perbuatan itu pada 16 November lalu.
“Suspek seorang penganggur berusia 23 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari di sekitar kawasan Balung, kelmarin,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Katanya, bagi kedua-dua kesalahan itu, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.