Oleh: Farah Nabilah Wazer
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan di kediamannya di sini kerana disyaki memiliki sejumlah besar bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM.
Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam satu serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bermula 9 malam tadi.
Hasil pemeriksaan dalam rumah suspek mendapati, terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer miliknya.
Suspek yang menetap bersama kedua ibu bapanya, isteri serta dua orang anak, turut menyimpan bahan pornografi dalam cakera keras luaran (external hard disk), penghala (router), telefon bimbit serta cakera padat.
Dia yang bekerja di sebuah kedai perabot milik bapanya mengaku tidak menyedari perbuatannya itu adalah satu kesalahan.
Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Petaling Jaya dan ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu memiliki bahan CSAM dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Serbuan turut dijalankan serentak di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Johor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.