SHAH ALAM: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai polis sebelum menyamun sebuah keluarga warga asing di Meru, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, suspek warga tempatan berusia 23 tahun itu diberkas pada hari sama selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 1.24 pagi.
“Dalam kejadian itu, suspek didakwa ke rumah didiami keluarga warga asing itu dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum meminta pengadu membuat bayaran sebanyak RM4,000 jika tidak mahu ditangkap.
“Disebabkan berasa terancam, pengadu dan ahli keluarga menyerahkan dua cincin emas serta satu telefon bimbit jenis iPhone XR kepada suspek yang didakwa kemudian terus melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Vijaya Rao berkata, suspek berjaya ditangkap bersama barangan mangsa yang disamun dan direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/170 Kanun Keseksaan.
Beliau mengingatkan masyarakat agar berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan mana-mana individu yang menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan kegiatan jenayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.