Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditahan, dadah seberat 3.9 kilogram dirampas

FOTO : Polis Perak / FACEBOOK

SITIAWAN: Polis Perak menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis heroin dan ganja dianggarkan seberat 3.9 kilogram di sebuah rumah di Sitiawan, Perak semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM122,750.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, bertindak menahan suspek berusia 40 tahun, yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah pada jam 2.30 pagi.

”Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap suspek, pihak polis telah menjumpai dan merampas sejumlah peket dan ketulan dipercayai dadah jenis heroin dengan anggaran berat 3.45kg yang dianggarkan bernilai RM120,750.

“Ganja dengan anggaran berat 440 gram dianggarkan bernilai RM2,000. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM122,750,” katanya.

Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Suspek juga mempunyai 8 rekod kesalahan jenayah lampau.

Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak tahun 2021.

Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di negeri Perak dan boleh digunakan seramai 9,000 penagih.

Suspek telah direman selama seminggu, bermula 13 hingga 19 Februari. Kes disiasat dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya ( Perlucutan Harta) 1988, dengan pihak polis menyita 3 buah kenderaan dianggarkan bernilai RM98,000.

Loading...
Terkini