comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditahan cuba bunuh isteri dengan menolak mangsa jatuh gaung 

Foto hiasan

GERIK: Polis menahan lelaki selepas dipercayai cuba membunuh isterinya dengan cara menolak mangsa hingga jatuh gaung dalam kejadian berhampiran kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Supt. Zulkifli Mahmood, maklumat kejadian diterima jam 2 petang pada hari sama melalui panggilan telefon oleh orang awam yang menemui mangsa iaitu seorang wanita berusia 32 tahun yang mengalami kecederaan.

Siasatan awal katanya ketika kejadian suspek berusia 39 tahun, dipercayai membawa mangsa pulang ke kampung petang Jumaat lepas.

Menurutnya, bagaimanapun sepanjang perjalanan itu berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka yang turut membawa kepada mangsa dikasari selain diugut bunuh oleh suaminya itu.

“Sepanjang perjalanan, pertengkaran mulut berlaku antara mereka. Apabila sudah malam setibanya di suatu tempat, suspek memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau.

Namun mangsa merayu sebelum pertengkaran berlaku di dalam kereta itu sambil suspek mencekik leher mangsa.

“Mangsa  bertindak terjun daripada kereta tetapi suspek memasukkan isterinya itu semula ke dalam kereta dan terus memecut kereta sehingga tiba di kawasan KM 31.2 JRTB kira-kira jam antara 4  hingga 5 pagi. Setibanya di kawasan itu, berlaku lagi pertengkaran mulut antara mereka.

“Suspek kemudiannya menarik mangsa keluar dari kereta dan berlaku pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan. Suspek kemudiannya bertindak menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, siasatan lanjut mendapati mangsa bertindak menyelamatkan diri dengan merangkak naik ke bahu jalan sebelum dijumpai oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis.

“Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan dan kini mangsa menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya.

Kata Zulkifli lagi, suspek ditangkap semalam oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, kerana terdapat pembabitan suspek dalam kes yang berlaku di daerah pentadbiran IPD berkenaan.

“Suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil; dan Kanun Keseksaan.

“Sejurus siasatan kes di Baling selesai, suspek akan ditangkap semula oleh pihak IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan kes cubaan membunuh ini,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini