BATU PAHAT: Seorang lelaki yang baru menjadi pengedar dadah, ditahan bersama syabu seberat lebih tiga kilogram bernilai hampir RM100,000.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Simpang 5, Parit Sulong di sini kira-kira jam 11.30 pagi, Khamis lalu.
Beliau berkata, serbuan membabitkan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat hasil intipan dan juga risikan dijalankan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas methampethamim seberat 3,080 gram yang bernilai RM96,000. Malah ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis sama.
“Namun, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dengan kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak awal bulan lalu,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar berkata, modus operandi digunakan suspek ialah membawa masuk dadah ke negara ini sebagai lokasi transit sebelum dipasarkan ke negara jiran.
“Siasatan awal polis mendapati dadah terbabit boleh digunakan untuk 6,160 penagih.
Selain itu polis turut menyita motosikal dan suspek direman lima hari bermula Jumaat lalu sehingga Selasa ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mati dan juga Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana air kencing positif dadah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.