KEPALA BATAS: Seorang lelaki yang menikam ibu saudaranya di kepala dengan gunting semalam, direman selama tujuh hari hingga 21 Ogos ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supt C. Tharmalingam berkata permohonan reman ke atas lelaki berusia 43 tahun itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata lelaki terbabit ketika ini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana mengalami kecederaan di kepala dipercayai terjatuh ketika pulang ke rumahnya sebelum insiden berkenaan.
“Ujian air kencing lelaki yang juga penganggur itu mendapati negatif dadah dan sama ada suspek mengalami masalah mental atau tidak, polis menunggu laporan lengkap pihak hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tharmalingam berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika suspek baru pulang ke rumah di Pekan Darat di sini sebelum berlaku perselisihan faham dengan ibunya.
“Suspek yang berang menikam ibu saudaranya yang cuba meleraikan pergaduhan malah dia turut bertindak menolak ibunya sehingga jatuh dan cedera,” katanya menambah ibu suspek yang berusia 70-an kini menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 80-an maut ditikam di kepala dengan gunting ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua beranak dalam kejadian kira-kira 11 pagi.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.