PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang disyaki terbabit kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Individu yang berbaju oren dengan bergari di tangan itu tiba di mahkamah pada jam 10 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut kelihatan dua ahli keluarga individu berkenaan yang berada di luar mahkamah.
Media hari ini melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan individu terbabit kepada SPRM petang semalam dan ditahan selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati suspek membuat bayaran rasuah berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa di PUSPAKOM sebagai balasan untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan berat yang tidak menepati standard ditetapkan.
SPRM menegaskan penangkapan itu mencerminkan komitmen teguh SPRM dan JPJ dalam memastikan integriti proses pemeriksaan kenderaan terus terpelihara dan bebas daripada sebarang amalan rasuah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.