comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki disyaki ragut wanita warga emas telah ditahan polis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan semalam selepas disyaki terbabit dalam kejadian ragut seorang wanita warga emas di Jalan Limau Manis, Bangsar di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Brickfields,Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, suspek terbabit yang ditahan di sekitar Ampang petang semalam disyaki turut terlibat dengan satu lagi kejadian ragut di Pekan Brickfields, di sini sebelum meragut warga emas berkenaan.

“Pada 7.30 pagi Isnin seorang wanita berusia 78 tahun ditemui di Jalan Limau Manis dalam keadaan separa sedar dan mengalami kecederaan di kepala.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa diragut oleh suspek yang menaiki motosikal dan terus melarikan diri.

“Pada hari yang sama kira-kira 6.15 pagi, satu kes ragut berlaku di kawasan berhampiran Petronas, Pekan Brickfields di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu kejadian itu tular selepas satu klip video berdurasi dua minit 45 saat tersebar di media sosial memaparkan wanita warga emas terbabit jatuh tersembam ke atas jalan raya selepas diragut suspek terbabit.

Warga emas itu dilihat terbaring di atas jalan raya selama beberapa saat lalu bangun dan duduk bersendirian sebelum di berikan bantuan oleh orang awam beberapa minit kemudian.

Ku Shariman berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit terlibat dalam kedua-dua kes ragut berkenaan.

Katanya, mangsa mendakwa suspek berkenaan menaiki sebuah motosikal dan memakai jaket berwarna hitam.

“Suspek meragut beg sandang berwarna putih milik pengadu yang mengandungi wang tunai, kad bank dan kunci rumah.

“Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan,”katanya.

Menurutnya, suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke talian Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau balai berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini