KOTA BHARU: Seorang lelaki ditahan di sebuah kedai makan di Kampung Bayam, Lundang, di sini semalam selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata suspek 30, ditahan bersama pil yaba sebanyak 2,000 biji.
Katanya, lebih kurang pada jam 11.40 malam pada Khamis lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menahan suspek yang pada ketika itu sedang keluar dari sebuah kedai makan.
“Semasa ditahan, suspek sedang memegang satu objek dengan tangan kanannya dan kemudian meletakkan objek yang dipercayai dadah di tepi dinding kedai makan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Suspek kemudian cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.
Tambah Mohd Rosdi, pemeriksaan lanjut ke atas objek di tepi dinding kedai makan berkenaan yang diletakkan oleh suspek, pihaknya menjumpai satu beg plastik hitam mengandungi bungkusan berisi 10 peket plastik berisi pil yaba dengan setiap peket terdapat 200 biji pil yaba.
Jumlah keseluruhan pil yaba yang dirampas itu adalah sebanyak 2,000 biji dengan berat 200 gram.
Pada masa sama, polis turut menyita sebuah kereta jenis Produa Viva berserta serangkai anak kunci.
Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan harta)1988 dan Seksyen 39B ADB 1952.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti penglibatan suspek dengan rakan jenayahnya yang lain.