comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki disyaki curi kabel TM diberkas

Peralatan yang digunakan suspek ketika melakukan kegiatan mencuri kabel di Papar. – Foto: PDRM

PAPAR: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di tepi jalan utama Papar-Bongawan, pada 15 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, suspek berusia 39 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sebuah rumah di Bongawan, di sini, kira-kira jam 2 pagi, kelmarin.

Beliau berkata, hasil siasatan pasukan polis membuat serbuan di sebuah rumah di Bongawan.

“Setiba di lokasi, polis membuat pemeriksaan dalam rumah dan menahan suspek. Soal siasat membawa kepada pasukan polis ke sebuah rumah kosong dan menemui satu guni wayar TM dipercayai dicuri.

“Turut ditemui peralatan digunakan ketika melakukan jenayah iaitu gergaji besi, alat ragum, pemotong dan pisau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau. Suspek akan dipohon reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini