Tumpuan :
Jenayah

Lelaki didenda RM30,000, import kuda laut kering tanpa permit sah

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, hukuman itu dijatuhkan ke atas tertuduh selepas mengaku bersalah atas kesalahan mengimport 7,529 ekor kuda laut kering seberat 20,374 gram tanpa permit sah.

Tertuduh yang tiba dari China ke Malaysia, ditahan di Bangunan Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada 30 November 2023 oleh Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Pemeriksaan terhadap bagasi tertuduh mendapati dua buah bagasi hijau dan sebuah kotak coklat mengandungi kuda laut kering, yang merupakan spesies dilindungi, tanpa sebarang dokumen import sah,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bagasi tertuduh mendapati dua bagasi hijau dan sebuah kotak coklat mengandungi kuda laut kering, yang merupakan spesies dilindungi, tanpa sebarang dokumen import yang sah.

Kes terbabit kemudian diserahkan kepada DOF untuk tindakan lanjut memandangkan kuda laut adalah hidupan akuatik yang dilindungi di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Siasatan mendapati tertuduh telah melanggar Seksyen 10(a) akta tersebut, yang memperuntukkan hukuman terhadap individu yang mengimport atau mengeksport spesies terjadual tanpa permit.

Anggaran nilai sitaan bagi kuda laut kering tersebut adalah sekitar RM38,000.

Hasil pemeriksaan juga mengesahkan bahawa rampasan tersebut terdiri daripada spesies kuda laut kering (Genus Hippocampus), serta spesies unduk-unduk kering daripada genus Corythoichtys dan Syngnathoides.

Kesemua spesies kuda laut (Hippocampus spp.) disenaraikan dalam Jadual Ketiga Akta 686, yang mewajibkan permit sah bagi sebarang aktiviti import atau eksport.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan di hadapan Hakim Tuan Ahmad Fuad bin Othman, dan selepas mengaku bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM30,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Selain itu, kesemua barang kes diperintahkan untuk dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Ini merupakan sabitan pertama di bawah Seksyen 10 Akta 686, menunjukkan komitmen DOF dalam membanteras perdagangan haram spesies marin dilindungi.

DOF turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi perundangan berkaitan spesies terancam demi memastikan kelestarian biodiversiti negara.

Penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras perdagangan haram hidupan marin yang diancam kepupusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini