Tumpuan :
Jenayah

Lelaki didakwa perdaya pembekal emas babit kerugian RM11 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kedai emas didakwa memperdaya beberapa pembekal emas untuk mendapatkan emas tanpa membuat sebarang bayaran dalam jumlah kira-kira RM11 juta sebelum melarikan diri.

Lelaki berusia 30 tahun itu yang memiliki sebuah kedai emas di Shah Alam, Selangor dan dipercayai aktif sejak setahun lalu dikesan menggunakan modus operandi sama untuk menipu pembekal emas.

Salah seorang mangsa yang mahu dikenali Tang, 32, mendakwa mengenali lelaki itu melalui seorang pemilik kedai emas yang juga rakan kepada suspek, pada 2021.

Menurutnya, lelaki itu beritahu mahu membuka perniagaan emas dan memintanya membekalkan barangan kemas.

“Pada mulanya urusan pembayaran dan pembekalan berjalan lancar sehinggalah dia mula gagal melunaskan hutang serta memberikan pelbagai alasan.

Namun pada 9 Januari lalu, lelaki itu meminta saya membekalkan 18 jenis barangan kemas dengan berat keseluruhan 2,123.06 gram.

Dia perlu membayar wang upah beserta nilai emas dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 secara tunai tetapi dia minta saya hantar emas ke kedainya dan akan buat bayaran dalam tempoh tiga jam,” katanya dalam sidang media di Pejabat MCA di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata selepas tempoh dijanjikan lelaki itu gagal membuat bayaran dan tidak dapat dihubungi, malah kedai emasnya juga ditutup.

Berikutan kejadian itu, Tang tampil membuat laporan polis dan mendakwa menanggung kerugian lebih RM1 juta.

Seorang lagi mangsa mahu dikenali Loi, 52, mendakwa syarikatnya kerugian RM1.5 juta selepas suspek gagal membuat bayaran bagi barangan kemas yang dibekalkan pada Januari lalu.

Beliau yang juga pengurus syarikat pembekalan emas di Klang, Selangor berkata suspek berjanji akan membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan tetapi sehingga kini pihaknya tidak menerima bayaran itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata pihaknya menerima aduan daripada sekurang-kurangnya 10 mangsa yang kerugian lebih RM11 juta akibat ditipu lelaki itu.

Beliau yakin, ramai lagi individu yang menjadi mangsa dan meminta mereka membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Michael turut berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

Loading...
Terkini