Tumpuan :
Jenayah

Lelaki didakwa fitnah anggota polis terkorban insiden Ulu Tiram disambung reman 2 hari

Foto fail

IPOH: Lelaki yang ditahan polis berhubung hantaran melalui Facebook yang didakwa komen berbaur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Mei lalu, disambung reman dua hari lagi hingga esok.

Sebelum ini, lelaki tempatan berusia 25 tahun yang juga pekerja kilang itu direman selama empat hari bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan kes itu masih dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah sebelum merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan di mahkamah.

Beliau berkata, pelanjutan tempoh reman diperlukan kerana terdapat beberapa dokumen yang membabitkan agensi dan jabatan lain, masih belum diterima polis untuk membolehkan tindakan lanjut diambil.

“Selepas menerimanya nanti, kita akan merujuk semula kepada pihak pendakwa raya,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bagi September 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Datuk Azizi sekali gus mengingatkan masyarakat, khususnya pengguna media sosial, supaya berhati-hati dan menjaga sensitiviti dengan tuduhan yang dilemparkan secara liar dan tidak berasas, selain berpegang kepada integriti serta maruah kendiri.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki tempatan berhubung hantaran komen melalui Facebook yang didakwa berbaur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, dipetik berkata pihaknya menerima laporan mengenai dakwaan fitnah itu daripada waris keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.

Dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terbunuh akibat diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini