Tumpuan :
Jenayah

Lelaki cuba bunuh diri selepas kelar teman wanita, tikam 18 kali

PETALING JAYA: Tangkapan ke atas seorang lelaki warga asing yang cuba membunuh diri di landasan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan, Sabtu lalu membongkar kepada satu pembunuhan di sebuah kondominium di Kelana Jaya, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira 4.50 petang itu, suspek berusia 30 tahun berjaya ditangkap polis bantuan di stesen ERL terbabit sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, suspek cuba membunuh diri dengan meletakkan separuh badan di atas landasan namun gagal selepas ERL yang datang tidak melalui landasan terbabit tetapi di landasan bersebelahan.

“Hasil soal siasat Polis Daerah Cheras, suspek mengaku mahu membunuh diri selepas membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya di sini.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Cheras dan IPD Petaling Jaya kemudian menyerbu kondominium terbabit dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring dalam salah sebuah bilik,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemeriksaan mendapati mangsa ditikam 18 kali di beberapa bahagian badan dengan sebilah pisau pemotong buah selain lehernya dikelar.

“Pembunuhan dipercayai berlaku antara 4 hingga 6 petang Jumaat lalu (sehari sebelum suspek cuba membunuh diri) dan pembunuhan bermotifkan cemburu.

“Suspek dan mangsa yang berusia 40 tahun baru datang dari India tiga bulan lalu dan kedua-duanya sedang menjalin hubungan sulit dari negara asal kerana mangsa mempunyai suami dan anak di India,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan tujuh individu terdiri daripada lima lelaki warga asing, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang mendiami unit kondominium terbabit bersama suspek dan mangsa.

Katanya, pada hari kejadian, suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit lain dengan salah seorang rakan serumah mereka menyebabkan suspek berang dan membunuh mangsa.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemui pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa dalam tong pembuangan sampah kondominium terbabit.

“Semakan mendapati suspek dan mangsa masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong namun kedua-duanya bekerja secara haram di negara ini.

“Suspek bekerja di sebuah restoran di Kota Damansara, manakala mangsa bekerja di sebuah salun di pusat beli belah di Mid Valley dekat sini,” katanya.

Katanya, suspek bersama tujuh individu lain kini direman tujuh hari sehingga esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini