comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ancam bunuh lepas ‘kantoi’ curi seluar dalam wanita

Tindakan tidak bertanggungjawab lelaki itu turut tular di media sosial.

JOHOR BAHRU: “Tak sangka jiran sanggup ugut bunuh, selain kerap mengancam keselamatan ahli keluarga selepas ditegur mencuri seluar dalam wanita,” kata remaja perempuan berusia 14 tahun.

Remaja yang tinggal di bandar raya ini itu mendakwa jiran lelaki berusia 40-an terbabit mencuri seluar dalam wanita yang dijemur di ampaian rumah, malah gemar menghendap.

Katanya, keluarganya mula menyedari perkara itu sejak setahun lalu.

“Kami sekeluarga memang pelik apabila seluar dalam ibu kerap hilang. Awalnya, saya menyangka ibu pelupa dan tidak meletakkan pakaiannya di tempat sesuai.

“Bagaimanapun apabila menyedari ia perbuatan jiran, kami mula bimbang. Kami juga pernah mengadu perkara berkenaan kepada keluarga jiran terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut remaja itu, selepas perbuatan lelaki terbabit dimaklumkan kepada keluarganya, jirannya itu bertindak lebih berani mengulangi perbuatannya, malah menghendapnya ketika berseorangan di rumah.

Katanya, lelaki itu juga bertindak agresif apabila sengaja membaling sisa jubin dan batu ke rumah mereka.

“Lebih membimbangkan, lelaki berkenaan mengugut mahu memukul dan membunuh. Kami membuat laporan polis sejak April tahun lalu di Balai Polis Majidee. Kami berharap masalah ini dapat diatasi dan tidak berulang.

“Berikutan kejadian ini, hampir tiga minggu saya tidak bersekolah kerana bimbang dengan keselamatan diri,” katanya.

Keluarga remaja itu membuat laporan susulan di Balai Polis Majidee di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan terbabit.

“Suspek sudah ditahan dan direman selama empat hari mulai hari ini hingga 5 November depan bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini