Tumpuan :
Jenayah

Lebih 4,000 pokok hiasan bernilai RM500,000 dirampas 

Antara 4,000 pokok hiasan bernilai lebih RM500,000 yang dirampas oleh PGA9, Briged Tenggara dalam operasi di Pengkalan Kubor, dekat Tumpat dan Rantau Panjang. – Foto NSTP/PGA

KOTA BHARU: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Briged Tenggara merampas lebih 4,000 pokok hiasan bernilai lebih RM500,000 dalam operasi di pangkalan haram di Pengkalan Kubor, dekat Tumpat dan Rantau Panjang.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, menerusi Op Taring Wawasan semalam, anggotanya menemui beberapa kotak putih di pangkalan haram di sempadan negara di Pengkalan Kubor.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kotak mendapati hampir 3,000 pokok kaktus dan pokok keladi tanpa dokumen yang sah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM447,700.

“Dalam operasi di Rantau Panjang, pasukan operasi menahan sebuah lori Isuzu dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan menemui lebih 1,000 anak pokok pelbagai jenis tanpa dokumen yang sah bernilai RM77,500.

“Pada masa yang sama, seorang lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup anak pokok dari Thailand ke pasaran tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Komtak Taman Bakti dan Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini