comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lebih 200kg, 2,158 liter dadah dirampas polis Terengganu sejak Januari

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan memeriksa barang pelupusan dadah pada Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu di sini. Polis Terengganu merampas lebih 226.6 kilogram (kg) dan 2,158 liter dadah pelbagai jenis melalui operasi besar-besaran dalam tempoh Januari sehingga 21 Oktober lalu yang bernilai RM6.2 juta. – Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu merampas lebih 226.6 kilogram (kg) dan 2,158 liter dadah pelbagai jenis dalam operasi besar-besaran bagi tempoh Januari sehingga 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata daun ketum merekodkan rampasan tertinggi iaitu sebanyak 186.8kg diikuti pil yaba (25.6kg), ganja (9kg), syabu (2.4kg), heroin (2.1kg) dan air ketum (2,085 liter).

Beliau berkata, sebanyak 739 kertas siasatan dibuka dengan 95 peratus daripadanya dituduh di mahkamah di bawah kategori bekalan iaitu Seksyen 39B, 39A (2) dan 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sebanyak 94 peratus daripada 1,598 kes membabitkan ‘pusher’ atau ejen pengedar dadah turut didakwa di mahkamah di bawah kategori permintaan iaitu Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 akta yang sama.

“Selain itu, seramai 838 penagih tegar dihukum di bawah Seksyen 39C akta sama iaitu kesalahan berulang yang memperuntukkan penalti lebih berat iaitu hukuman penjara dan sebat dalam tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu di sini.

Mazli berkata, hampir 95kg dadah pelbagai jenis bernilai RM6.2 juta diserahkan kepada syarikat berdaftar di bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar, Kualiti Alam Sdn Bhd untuk dilupuskan.

Katanya, kesemua dadah itu membabitkan 3,557 kes sejak 1996 yang sudah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara D207.

“Pelupusan itu perlu dibuat secara teratur bagi memastikan tiada barang kes yang disalah guna atau kembali semula ke jalanan di tangan penagih-penagih muda dan tegar.

“Antara dadah yang dilupuskan adalah pil yaba (21.5 kg), syabu (23.6 kg), heroin (4.4 kg), ganja (563 gram), pil eramin 5 (621.3 gram) dan air ketum (896.3 liter).

“Turut dilupuskan adalah daun ketum (43.85 kg), ubat batuk (63.98 liter), pil estacy (7.11 gram), pil psikotropik (198.54 gram) dan ketamin (189.4 gram),” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini