Tumpuan :
Jenayah

Lari daripada pemeriksaan, rempuh polis: Suspek disambung reman 3 hari

Foto hiasan

PORT DICKSON: Seorang lelaki yang merempuh anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Batu 1, Jalan Pantai di sini, Rabu lalu, disambung reman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin, berkata reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu disambung hingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

“Sebelum ini, suspek direman dari 1 Januari hingga semalam tetapi kami memohon remannya disambung tiga hari lagi untuk siasatan lanjut.

“Sebaik saja siasatan selesai, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya, lapor BH.

Media sebelum ini melaporkan seorang anggota polis cedera dilanggar suspek yang melarikan diri daripada pemeriksaan di Batu 4, Rabu lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 1.40 pagi, suspek yang disyaki terbabit kegiatan mencuri kabel, dilapor melarikan diri sejauh kira-kira lima kilometer (km) dalam keadaan kenderaan dipandunya sudah tertanggal tayar dan hanya tinggal rim.

Hasil pemeriksaan polis terhadap suspek dan kenderaan itu menemukan beberapa guni kabel yang sudah dibakar dan dadah jenis syabu seberat 19 gram (g) serta daun kering disyaki ganja 55g.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini